Skip to main content

Cerpen: Kabur - Mencari Realiti

Aku bermimpi lagi. Ah, memang semua orang bermimpi. Tetapi mimpi aku ini mengingatkan aku kepada seseorang. Sekian lama seseorang ini sentiasa menemani mimpi lewat tidur-tidurku. Sejak sekolah rendah, aku kerap kali bermimpikan dia. Bermacam-macam mimpi yang hadir. Mimpi pelik-pelik. Biasalah mimpi, selalunya kita tak faham. Bila naik sekolah menengah, mimpi aku tentang dia makin berkurang. Mungkin sebulan sekali. Bila habis sekolah, aku masih bermimpikan dia tetapi jarang-jarang sekali. Dua, tiga bulan sekali. Namun, makin lama makin jarang. Sehiggalah malam tadi, dia datang lagi menjengah mimpiku. Dia membawa pokok inai untuk aku!
Entahlah, antara aku dan dia tiada hubungan yang istimewa. Melainkan rakan sekelas. Tapi entahlah, dalam ramai-ramai bekas rakan sekelas aku dulu, kenapa harus dia?
“Tikah, kau cepatlah mandi tu! Kita ni dah lambat. Apa pulak kata orang nanti. Nama je dari HQ, tapi masuk lambat. Inipun dah lapan lima puluh lima dah. Dah-dahlah tu, kau nak habiskan shower cream dengan syampu hotel ni ke?”
Suara nyaring Shuhada kedengaran. Serta-merta aku tutup pili pancuran air.
“Kau pergilah dulu. Aku belum syampu lagi ni!”
Suara aku sama nyaringnya dengan suara Shuhada. Mana tidaknya, Shuhada ni jenisnya bukan boleh cakap perlahan-lahan. Nanti banyak pulak bunyi ‘ha’ nya!
“Weh mak cik, kau ada hati nak bersyampu bagai? Kau tahu dah pukul berapa sekarang?”
“Alah, kau pergilah dulu. Kata aku cirit birit.”
“Banyaklah kau punya cirit birit. Dahlah, aku pergi dulu. Kau jangan nak bercinta lama-lama dalam bilik air tu!?”
Senyap. Kedengaran pintu di buka dan di tutup.
***
Perlahan-lahan aku menolak daun pintu dewan. Pura-pura tunjuk muka tak sihat sedangkan fasilitator itu langsung tidak sedar akan kehadiranku. Aku mengambil tempat di belakang sekali. Tika aku baru sahaja duduk mataku terpandang sesusuk tubuh yang duduk sebaris denganku. Mata kami bertemu. Serentak itu dahi kami berkerut.
Robert?!
Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku lihat, sehinggakan aku pejam celikkan mataku untuk memastikan apa yang aku pandang. Bila aku pandang untuk kali ke dua lelaki berkemeja mengangkat sedikit tangannya sambil mengangukkan kepalanya.
Rasanya sepanjang ceramah dan penerangan fasilitator di hadapan langsung satu apapun tak masuk di dalam otak aku. Sesekali aku akan memandang ke arah lelaki yang aku pasti lelaki yang sama sering hadir di dalam mimpiku. Lelaki yang aku kenali sejak dari sekolah rendah lagi! Ah, kalut!

***
Makan tengah hari di restoran yang terdapat di hotel tersebut. Penuh ruang restoran itu dengan pakaian seragam berwarna hitam merah. Shuhada begitu seronok dengan pelbagai hidangan buffet yang tersedia. Penuh pinggannya bagaikan orang yang tak makan sepuluh hari. Sedangkan aku masih berkira-kira mahu memilih apa. Semuanya bagaikan tidak kena dengan selera aku. Mati!
Mataku meliar memandang sekeliling. Mencari kelibat lelaki itu. Lelaki itu sedang asyik mengunyah makanan sambil mendengar rakan semejanya yang bercerita. Mungkin menyedarai aku yang sedang memerhati, dia angkat kepala. Dia tersenyum dan aku membalasnya dengan senyuman canggung.
“Weh, kau senyum kat siapa? Cepatlah ambil benda tu, aku nak juga! Dari tadi dok pegang senduk, satu apa tak diceduk!”
Terus sahaja senduk besi itu aku serahkan kepada Shuhada. Akhirnya, aku sekadar memenuhkan pingganku dengan buah-buahan. Bila di tanya oleh Shuhada, senang sahaja jawapan aku. Sunnah nabi makan dimulaikan dengan buah-buahan! Mencebik gadis itu dengan jawapanku.
Sepanjang makan itu fikiranku penuh dengan mimpi-mimpi dan kenangan empat belas tahun lalu. Berlumba-lumba mengasak fikiranku.
“Tikah, kau kenapa? Macam tak ada selera je? Kata tadi makan buah dulu sunnah nabi, aku tengok seketul pun tak bergerak.”
Aku pandang Shuhada yang duduk di hadapanku. Juga Mila dan Raihanna dari cawangan Melaka yang turut duduk semeja. Kemudian, aku pandang pingganku yang masih penuh. Membandingkan pinggan penuhku dengan pinggan mereka yang sudah bertukar hidangan. Pinggan hidangan nasi tadi sudah bertukar dengan mangkuk berisi bubur kacang hitam. Laju betul mereka makan!
“Erm, aku rasa sakit perutlah. Perut ni rasa memulas je. Korang habiskan boleh? Aku nak naik biliklah. Petang ni tak ada aktiviti kan?”
Mila angguk. Langsung aku bangun melihat anggukan itu, tanpa memperdulikan Shuhada yang semacam mahu menyatakan sesuatu.
Sebaik sahaja keluar dari restoran, aku terus melangkah ke pantai. Mesti mengamuk si Shuhada kalau tahu aku tipu dia! Lantaklah.
“Atikah Hassan?”
Laju sahaja aku menoleh sebaik kedengaran namaku disebut. Dia tersenyum. Senyuman yang aku sambut dengan senyuman juga. Janggal tiba-tiba!
“Kenal tak?”
“Robert?!” Aku tidak menunggu lama untuk menjawab. Ya, aku amatlah pasti. Walaupun empat belas tahun memisahkan kami, raut wajah itu tidak banyak berubah. Atau boleh aku katakan langsung tidak berubah?
“I ingatkan salah orang tadi. You dari branch mana?”
“HQ… er..er.. you?”
Janggal pula berbahasa ‘I,you’ ni. Sedangkan waktu sekolah dulu berengkau aku sahaja.
“Oh I dari JB.”
“Owh.”
“Kenapa tadi I tengok you macam tak lalu makan je.”
“Ermm, sakit perut.”
“You memang tak berubah kan? Asyik sakit perut je. Ingat lagi masa kita darjah enam. Ada kem motivasi di sekolah. You kena layan macam tuan puteri sebab itu you tak boleh makan, ini tak boleh makan.”
Aku ketawa mendengar ceritanya. Hatiku berbunga bila dia mengingati tentang aku. Kami mula bercerita. Mula membuka kenangan lama. Kebanyakannya kenangan ketika kami di darjah enam. Betapa kami nakal menipu dalam latihan matematik. Kalau salah dua atau tiga soalan, kami akan menjadikannya sekadar salah satu soalan. Al-maklumlah kami menjadi tukang tanda buku latihan masing-masing. Semuanya gara-gara tak mahu terima ‘selipar jepun’ atau ‘kuih siput’ dari Cikgu Nani. Betapa dia baik hati mencari meja dan kerusiku selepas habis peperiksaan. Saat dia mencalonkan nama aku sebagai goal keeper untuk perlawanan bola jaring antara kelas. Saat kami tanpa segan silu menjadikan lorong koridor sebagai tempat bermain batu seremban beramai-ramai. Ah kenangan!
“I sebenarnya dah lama nak cari you. Tapi tak tahu nak cari dekat mana! Semua budak-budak Tembangau dah lost contact.”
Luahan lelaki itu setelah beberapa ketika kami berdiam diri membuatkan aku terkejut. Untuk apa dia mencari aku?
“Kenapa?” sepatah sahaja perkataan yang keluar daripada mulutku.
“Entah. Mungkin sebab dulu kita rapat. You tahu I selalu mimpikan you.”
Dia memusingkan tubuhnya menghadapku. Membuatkan jantungku berdegup kencang. Bukan kerana dia yang sedang berdiri menghadapku. Bukan! Ia kerana mimpi!
“You kata you cari I, takkanlah tak jumpa kot kalau you pergi Tembangau. Lainlah I, keluarga you selalu berpindah randah. I nak cari you kat celah mana?”
Dia ketawa.
“Tak ada kesempatan.”
Dia beralasan dan aku mencebik mendengar alasannya.
“Tapi tak apalah kan… akhirnya jodoh kita ada jugak. Bertemu jugak kat sini.”
Aku telan air liur. Jodoh? Jodoh yang itu ke? Alah dia ni…
“Eh, I  kena masuk cari kawan I lah. Nanti dia tak boleh masuk bilik pulak sebab kunci ada dekat I. Bagi nombor telefon you, nanti I call.”
Pantas juga, aku menyebut nombor telefon aku satu persatu dan dia mengulanginya untuk memastikan nombor yang kuberikan.
“Tunggu I call.”  Aku angguk dan dia pun berlalu. Pantas sahaja langkahnya.
Suara Shuhada kedengaran memanggil aku dari jauh. Aku berpaling melihat dia yang sudah semakin menghampiri.
“Weh, tadi kau kata kau sakit perut? Ni apanya ada kat sini? Kau cakap dengan siapa tadi? Dari jauh aku tengok seronok sangat.”
“Aku cakap dengan kawan aku tadi. Tetiba terjumpa kat sini.”
Malas aku bercerita lanjut. Nanti panjang berjela pula persoalan daripada Shuhada.
“Patutlah gembira sakan. Bagi aku kunci bilik. Aku nak masuk sambung tidur.”
“Jomlah. Akupun nak masuk bilik ni.”

***
“Tikah, lupa aku nak bagitahu kau. Semalam masa yang kau lambat masuk tu, Kak Suhana beritahu ada seorang staf dari JB accident. Malam Sabtu. Meninggal kat situ juga. Dia kemalangan dekat dengan Seremban rasanya.”
Hatiku berdegup kencang mendengar berita itu. Rentaknya bagaikan mahu pecah sahaja dadaku. Serta-merta aku teringatkan Robert.
“Dah ajal dia kot sebab ikutkan dia memang kena ikut berkumpul dekat KL tapi last minute dia ada hal. So, malam tu dia drive sendiri datang sini. Pukul lapan pagi semalam, Encik Nasrul terima panggilan daripada keluarga dia. Itu yang staf-staf dari JB semua pagi-pagi gerak balik tu.”
“Semua staf JB balik?”
“Aah. Semua.”
Habis tu Robert?! Bukan ke dia staf JB juga?
“Betul ke? Tak ada sorang pun tinggal?”
“Tak ada. Lima-lima dah balik pagi tu. Naik bas yang hantar kita hari tu. Nasib baiklah kompeni baik hati bayar lebih kat pak cik driver tu.”
Rasanya rentak jantungku bagaikan ligat bergetar. Bagaikan mahu pecah. Cepat-cepat aku mencari telefon bimbitku. Cuba menghubungi Robert. Cuba  juga memikirkan yang elok-elok. Mungkin aku yang tersalah dengar bila dia memberitahu aku tentang cawangannya. Mungkin juga dia yang tersalah cakap.
Nombor yang aku hubungi masuk ke dalam peti suara. Aku dail untuk kali ke dua. Sama juga.
“Tikah, cepatlah. Nanti kita kena tinggal pulak.”
 Aku biarkan Shuhada mengusung keluar begnya dahulu. Aku dail sekali lagi nombor Robert. Sama.
“Ah, tak mungkinlah aku bermimpi! Mungkin bateri handphone dia mati ke…”
Aku berbicara sendiri. Cuba menyedapkan rasa hati. Aku kembali membelek peti simpanan mesejku. Jelas memang aku dan dia ada bermesej semalam. Ah, mungkin aku tersalah dengar kot semalam!?

***

Di dalam bas, ketika bas sudah bergerak meninggalkan hotel aku menerima panggilan daripada Robert. Senyumanku melebar. Pastinya aku bukan bermimpi!
“Assalamualaikum.” Ucapku ceria tanpa memperdulikan pandangan Shuhada.
“Waalaikumussalam. Nombor ni ada call tadi. Boleh saya tahu siapa ni?”
Senyuman lebarku menghilang bila mendengar suara seorang lelaki yang jelas bukan suara Robert.
“Er…Robert ada… Azizi ada?”
Diam. Lama.
“Ini siapa ya?”
Akhirnya orang di sebelah sana bersuara.
“Erm…saya kawan dia, Atikah.”
“Beginilah Atikah, saya ni Hisham… abang Azizi. Azizi kemalangan malam kelmarin dekat Seremban. Meninggal dunia di situ juga.”
Seram sejuk tubuhku tetiba. Mendengar berita yang disampaikan terus aku teringatkan cerita Shuhada tadi. Aku terbayangkan wajah Robert yang aku temui semalam dan awal pagi tadi. Aku keliru! Bermimpikah aku?
“Atikah…”
“Tapi saya jumpa dia semalam. Pagi tadipun.”
Aku masih tidak mahu percaya. Mana mungkin aku bermimpi! Kalau aku bermimpi, bagaimana aku mendapat nombor telefonnya!?
“Saya benar-benar minta maaf tapi saya tidak bergurau. Azizi sepatutnya menghadiri kursus di Pulau Pangkor tetapi dia tak sempat.”
Terus aku genggam lengan Shuhada kuat-kuat. Bicara lelaki yang memperkenalkan diri sebagai abang Robert sudah menjauh. Aku rasa mahu pitam. Aku rasa tubuhku ringan. Tetapi fikiran aku sarat dengan apa yang terjadi.
“Hei Tikah… kau kenapa? Tikah? Kau jangan buat aku takut…. Tikah!”

***

“Aku memang tak nampak sesiapapun kat pantai hari tu. Aku ingat kau bercakap dengan kawan kau kat telefon sebab masa tu kau pegang telefon dan pakai earphone.”
Terang Shuhada bila aku cuba menyakinkannya bahawa aku bertemu Robert di pantai ketika di Pulau Pangkor tempoh hari. Malah, Shuhada juga yang menegurku bertanyakan aku bercakap dengan siapa.
Selepas seminggu kejadian itu, aku ke bank. Menukar kata laluan kad bankku yang selama ini tanpa sedar adalah gabungan nombor tarikh lahir aku dan Robert atau nama sebenarnya Ahmad Azizi.Dan aku menyedarinya bila keluarga Robert datang bertemu denganku dan menyerahkan sebuah buku nota berwarna merah yang tertera nombor yang sama seperti kata laluan kad bankku. Nombor yang ditulisnya berulang kali!
Aku ingin mimpi itu menjauh dan menghilang kerana aku takut aku tidak mampu membezakan realiti dan mimpi satu hari nanti. Aku harus kuat untuk melupakan dia, untuk diri aku sendiri!
"Terima kasih kerana menemani saya, hadir untuk menghilangkan rindu bertahun ini. Walaupun ia bukan realiti. Tapi saya mohon jangan muncul kembali, saya takut saya hilang pertimbangan diri."
Dan, itu untuk kali terakhirnya dia hadir dan pergi dengan senyuman. Selamat tinggal mimpiku!

          

Comments

Popular posts from this blog

SODA BIKARBONAT + SABUN CUCI PINGGAN LAWAN PERIUK BELANGA

gambo dari blog ni <<,>>> Untuk hilangkan kesan hangit, melekat dan sewaktu dengannya anda hanya perlukan :_ dan tak kisahlah jenama apa... cecair ke tak, pun boleh guna Cara-caranya. 1. Masukkan sesudu besar soda bikarbonat, sabun pencuci pinggan dan air ke dalam periuk. 2. Lepas tu letak periuk belanga tu atas api bagi mendidih dan lepas tu tutup. Buang air panas tu & cepat-cepatlah tonyok dengan span basuh pinggan ataupun senduk nasi yang plastik tu. 3. Hasilnya... periuk anda yang ada kesan kerak nasi, sambal hangus yang degil nak hilang tu sekarang ni kembali lawa...  Aku dah cuba sebab hari tu buat sup guna rice cooker lepas tu letak telur. Lupa pulak kuah supnya sikit, jadinya telur terus mendap ke bawah melekat kat periuk nasi tu. Rendam dua tiga hari tak hilang, rendam dengan air panas pun sama degil. Akhirnya ternampak cara-cara camne nak buat kat facebook. Balik kerja terus buat dan memang berhasil betul aku ikut cara tu! Sel

Resepi : Nasi Kanji / Bubur Nasi utara

Setiap kali bulan puasa, makanan yang paling suka adalah Nasi Kanji atau Bubur Nasi. Memang tak kisah kalau hari-hari sepanjang bulan Ramadan makan benda alah ni. Bila duduk sendiri, teringin nak makan Nasi Kanji kenalah buat sendiri. Minggu pertama puasa tu,  balik kampung dah dapat berbuka dengan Nasi Kanji. Sampaikan sahurpun makan benda yang sama. Satu lagi makanan yang best sehingga boleh tambah 2 pinggan nasi adalah lauk ikan masin goreng bersama bawang + cili! Yummy!! Nasi Kanji versi terlebih pekat. Jadi, nak kongsi jugalah resepi ni. Kot-kot ada yang tersesat cari resepi ringkas Nasi Kanji ni..  ^_^ Bahan-bahan :- Beras Santan  Garam Halba  udang kering Bawang Udang Geragau Lobak Masin - kena rendam dalam sejam dua, bagi hilang sikit masin dia Cara-Cara:- 1. Basuh beras bersama halba dan udang kering. Tanak nasi tu macam nak masak bubur. 2. Potong bawang nipis-nipis dan goreng bersama udang geragau. Bila sudah garing, angkat.

POSTCROSSING: Mari Bertukar Poskad!

Projek ini bertujuan membolehkan orang ramai menerima poskad dari seluruh dunia, secara percuma. Hampir percuma, sebenarnya (pendaftaran adalah percuma, dan anda hanya perlu menghabiskan beberapa ringgit untuk membeli poskad dan setem). Secara umumnya: jika anda menghantar sekeping poskad, anda akan menerima balik sekeping poskad daripada seorang Postcrosser dari sesebuah negara yang dipilih secara rawak. copypastedaripostcrossingwebsite^_^ Aku memang suka benda-benda seperti ni. Dapat poskad dari macam-macam negara secara rawak! Memang teruja sungguhlah. Kalaupun bukan poskadnya menunjukkan 'sesuatu' berkenaan negara si penghantar (sebab kebanyakan yang aku tengok mereka ni buat poskad sendiri) tapi perasaan dapat poskad dari seluruh negara itu lagi best.  Aku pun dah jadi ahli. Dah mula ber-postcrossing. haha. Siap buat sendiri lagi. Satu dah sampai kat Jerman. Lagi empat belum sampai rasanya sebab penerima belum 'register' kad dekat website.